HoSZA

HOSPITAL SULTAN ZAINAL ABIDIN (HoSZA)

Hari Penglihatan Sedunia Peringkat hosza

10-12 Oktober 2023 | Kuala Nerus

Hari Penglihatan Sedunia peringkat hosza anjuran Jabatan Oftalmologi hosza dengan kerjasama Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Jabatan Otorinolaringologi dan Persatuan Kakitangan Hospital (PEKA) telah berlangsung dengan jayanya yang telah berjaya menyaring dan memeriksa kesihatan mata lebih 450 orang awam, komuniti setempat dan staf UniSZA.

Program yang telah berlangsung selama 3 hari ini telah dirasmikan oleh YM. Dr Engku Narzini bt Raja Omar, Timbalan Pengarah (Sokongan) hosza diiringi Dr. Syaratul Emma bt Hashim, Ketua Jabatan Oftalmologi HPUniSA. Turut hadir, Dr. Mohammad Hudzaifah bin Nordin, Pakar Perubatan Oftalmologi, Encik Khairuddin bin Abdul Wahab, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar merangkap Setiausaha Society of the Blind in Malaysia (SBM) dan wakil dari Jabatan Oftalmologi HSNZ.

Pelajar daripada Asrama Perkaya Marang dan Kubang Parit adalah antara jemputan yang mendapat saringan dan pemeriksaan mata secara percuma. Saringan mata kepada pelajar sekolah amat penting bagi mengenal pasti sebarang masalah penglihatan seperti masalah mata malas agar rawatan dapat diberikan sebelum terlambat.

Selain itu, ahli The Society of the Blind in Malaysia (SBM), pelajar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuala Terengganu dan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar adalah merupakan tetamu jemputan istimewa yang turut mendapat pemeriksaan mata daripada pakar oftalmologi dan pegawai perubatan di Jabatan Oftalmologi, hosza.

Mereka juga diberikan pendedahan berkenaan dengan simulasi pengurusan harian diri sendiri yang dikendalikan oleh staf daripada Jabatan Perubatan Rehabilitasi hosza seperti pengendalian diri dalam urusan makan dan minum, jual beli dan kebersihan diri di tandas. Pendedahan seperti ini membantu pelajar istimewa tersebut untuk berdikari di samping meningkatkan keyakinan diri sendiri.

Tahniah buat semua ahli jawatankuasa kerja yang telah bertungkus lumus dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar. Terbaik!