HoSZA

HOSPITAL SULTAN ZAINAL ABIDIN (HoSZA)

JABATAN PERUBATAN MASYARAKAT

Jabatan Perubatan Masyarakat (JPM) di peringkat Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan kesihatan awam, keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kalangan staf, kesihatan persekitaran, surveilans penyakit berjangkit, dan promosi kesihatan.

Kesemua aktiviti-aktiviti ini mempunyai punca kuasa di dalam akta-akta berkaitan kesihatan awam seperti Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, Akta Makanan 1983 dan lain-lain.

VISI
Jabatan Perubatan Masyarakat bercita-cita untuk menjadi peneraju dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan komuniti HoSZA melalui pendekatan holistik yang mengutamakan keselamatan pekerjaan, persekitaran yang sihat, promosi kesihatan yang berkesan, dan penyelidikan yang inovatif.

MISI
Misi Jabatan Perubatan Masyarakat adalah untuk meningkatkan kesihatan komuniti HoSZA melalui penyediaan perkhidmatan yang komprehensif dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kesihatan persekitaran, promosi kesihatan, dan penyelidikan kesihatan dengan memfokuskan kepada pencegahan, pendidikan dan penglibatan komuniti HoSZA dan masyarakat setempat.

OBJEKTIF
Jabatan Perubatan Masyarakat komited dalam menyediakan rundingan teknikal dan perkhidmatan kepakaran kesihatan awam bagi memastikan kehendak akta berkaitan kesihatan awam dipenuhi di HoSZA seperti berikut:

Unit Kesihatan Persekitaran

  • Meningkatkan pengawasan penyakit dan mekanisma pelaporan untuk mencapai 100% notifikasi penyakit berjangkit yang perlu dilaporkan.
  • Menjalankan pemantauan dan kawalan penyakit bawaan vektor seperti denggi, serta penyakit berjangkit seperti batuk kering dan wabak penyakit berjangkit lain yang berkaitan.
  • Merancang, mengatur dan menyelaraskan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan Keselamatan dan Kualiti Makanan di HoSZA.
  • Memastikan kawasan persekitaran HoSZA bebas daripada asap rokok dan vape melalui program pemantauan dan penguatkuasaan.

Unit Promosi Kesihatan

  • Menjalankan aktiviti promosi kesihatan untuk semua komuniti HoSZA dan masyarakat secara keseluruhan.
  • Melaksanakan program pendidikan kesihatan komuniti sekurang-kurangnya satu prpgram setiap tahun untuk meningkatkan literasi dan kesedaran kesihatan dalam kalangan penduduk setempat.

Jabatan Perubatan Masyarakat komited dalam:

  • Mengaplikasi pengetahuan berdasarkan bukti saintifik untuk melindungi kesihatan, mencegah penyakit, menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan komuniti HoSZA serta persekitarannya.
  • Melindungi komuniti HoSZA daripada penyakit bawaan makanan serta menjamin keselamatan makanan yang dijual dan disediakan dalam premis hospital.
  • Menjalankan pengawasan dan pengawalan Penyakit Berjangkit di kalangan kakitangan HoSZA.
  • Mengurus, memantau dan mempertingkatkan aspek kesihatan dan keselamatan pekerjaan serta aspek persekitaran di HoSZA secara berterusan mengikut akta, peraturan dan piawaian industri yang berkenaan.

Jabatan Perubatan Masyarakat terdiri daripada 4 unit. Setiap unit akan diketuai oleh seorang Pensyarah Perubatan daripada jabatan ini. Unit-unit tersebut ialah:

  1. Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
  2. Unit Kesihatan Persekitaran
  3. Unit Promosi Kesihatan
  4. Unit Penyelidikan Kesihatan

Tujuan dasar ini adalah untuk mewujudkan garis panduan dan prosedur untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan semua individu dalam HoSZA.

Polisi ini menggariskan komitmen hospital untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran kerja yang selamat dan menekankan komitmen untuk meningkatkan kesihatan masyarakat melalui langkah pencegahan, pendidikan kesihatan dan penglibatan masyarakat.

Polisi ini terpakai kepada semua pekerja, kontraktor, sukarelawan, pesakit dan pelawat di dalam premis HoSZA.

Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

  1. Menubuhkan pasukan yang terdiri daripada pasukan Doktor Kesihatan Pekerjaan, Jururawat Kesihatan Pekerjaan dan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C).
  2. Merancang dan melaksanakan pengawasan kesihatan dan perubatan oleh Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) dan disokong oleh Jururawat Kesihatan Pekerjaan (OHN) berdasarkan keperluan perundangan seperti Use and Standard of Exposure Chemical Hazardous to Health Regulations 2000 (USECHH Regulations), CHRA Manual (Assesment of the Health Risks Arising From Use Of Hazardous Chemical in the Workplace 3rd Edition 2017), Akta Perlesenan Atom 1984 dan Peraturan – Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010, Industry Code of Practice for Management of Occupational Noise Exposure and Hearing Conservation 2019 dan lain-lain keperluan perundangan yang berkaitan.
  3. Mengenalpasti bahaya tempat kerja, menjalankan penilaian risiko dan melaksanakan langkah kawalan untuk mengurangkan risiko.
  4. Mewujudkan proses untuk pemeriksaan tempat kerja untuk mengenalpasti potensi bahaya dan memastikan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil dengan segera.
  5. Memperincikan keperluan latihan pekerja mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Topik yang berkaitan, kekerapan dan kaedah latihan termasuk pendidikan berterusan untuk semua kakitangan.

Unit Kesihatan Persekitaran

  1. Menangani masalah kesihatan persekitaran dalam komuniti HoSZA seperti  kualiti udara dan air, sanitasi, kualiti dan keselamatan makanan, dan faktor lain yang memberi kesan kepada kesihatan awam.
  2. Memastikan kawasan HoSZA berada dalam keadaan bersih dan selamat kepada komuniti HoSZA dengan  menjalankan aktiviti kawalan LILATI dan kawalan penyakit bawaan vektor.
  3. Sentiasa bekerjasama dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dalam proses mengawal dan mencegah penyakit berjangkit seperti tuberkulosis, difteria, HFMD dan penyakit berjangkit lain dalam komuniti HoSZA (pesakit dan staf) melalui sistem notifikasi.

Unit Promosi Kesihatan

  1. Merancang dan melaksanakan program promosi kesihatan yang bertujuan meningkatkan literasi kesihatan dalam masyarakat dan menggalakkan tingkah laku dan gaya hidup yang sihat.

Unit Penyelidikan Kesihatan

  1. Menawarkan khidmat perundingan penyelidikan dan statistik kepada pelajar dan kakitangan di HoSZA bagi membantu mereka menyempurnakan kajian mereka secara saintifik.
  2. Merancang dan menyelaras latihan pelajar pascasiswazah (MPH,DrPH) di HoSZA.
  3. Merangka dan merancang keperluan latihan untuk staf di Jabatan Perubatan Masyarakat bagi kemajuan kerjaya.