Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,
Selamat datang ke laman rasmi Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA).
Dengan penuh rasa syukur dan bangga, kami ingin mengumumkan bahawa perkhidmatan Klinik Pakar HoSZA telah mula beroperasi pada 23 Julai 2023. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu pada 12 Mei 2024.
HoSZA bertekad menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia serta pendidikan perubatan yang berkualiti tinggi. Dengan reka bentuk bangunan yang menggabungkan unsur geometri Islam dan gaya warna Andalusia, kami memastikan suasana yang selesa dan menyenangkan untuk semua.
Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan termasuk pengimejan dengan teknologi MRI 3 Tesla dan CT 256 keping, pembedahan subkepakaran dalam kolorektal dan urologi, serta perkhidmatan kardiologi melalui kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN). Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan perubatan hiperbarik dan mamogram mudah alih untuk kesejahteraan komuniti.
Kerjasama erat antara Fakulti Perubatan, Fakulti Farmasi, Fakulti Sains Kesihatan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan UniSZA memperkukuhkan lagi penyelidikan dan pembangunan saintifik di HoSZA. Kami komited dalam memberikan pengalaman pembelajaran yang berpusatkan kes kepada pelajar perubatan dan profesional penjagaan kesihatan, memastikan mereka bersedia dengan teknologi dan amalan terkini.
Dengan kehadiran HoSZA, kami berharap dapat memberikan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, meningkatkan kualiti kehidupan penduduk Terengganu dan sekitarnya. Kami juga berharap untuk memberi impak positif kepada ekonomi tempatan melalui penciptaan peluang pekerjaan dan perkembangan perniagaan berkaitan.
Kami mengalu-alukan anda semua untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik di Hospital Sultan Zainal Abidin. Semoga kehadiran kami memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia secara amnya.
“ Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepada mu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang beriman” (Surah Yunus : Ayat 57)
HoSZA – “Kesihatan Nadi Kehidupan”
Visi HoSZA adalah untuk merangkumi rangkaian luas perkhidmatan pesakit luar dan pesakit dalam, makmal dan aktiviti penyelidikan sebagai sebahagian daripada program strategik dan pembangunan sedia ada UniSZA. Hospital ini dijangka menarik bukan sahaja pelajar tempatan tetapi bakal pelajar pascasiswazah dan juga pelajar antarabangsa melalui MoU dan rangkaian. HoSZA juga dijangka akan menarik pelawat asing yang memanfaatkan pasaran pelancongan kesihatan yang semakin berkembang dengan mengambil kira alam semula jadi dan eko-pelancongan Terengganu.
VISI
Menerajui perkhidmatan kesihatan yang lestari dan berkualiti
MISI
OBJEKTIF