Jabatan Farmasi merupakan jabatan yang memberi perkhidmatan sokongan klinikal merangkumi penjagaan farmaseutikal secara individu kepada pesakit, mengawal penggunaan ubat secara rasional serta membantu dalam proses perolehan, penyimpanan, dan pembekalan ubat, bahan pakai habis dan gas perubatan kepada wad, klinik dan unit di hospital.
Farmasi Pesakit Luar
Farmasi Pesakit Luar berperanan untuk memastikan pesakit yang menerima rawatan dari Klinik Pakar, Kecemasan, dan Discaj menerima bekalan ubat yang selamat dan berkesan. Unit ini juga bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kaunseling ubat kepada pesakit yang memerlukan.
Farmasi Non Standard
Farmasi Non-Standard merupakan satu perkhidmatan yang menawarkan pembekalan ubat Non-Standard (Formulari/Non-Formulari) di hospital dengan harga yang berpatutan. Ini merupakan alternatif bagi Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan dari hospital untuk mempreskrib ubat yang tidak tersenarai dalam formulari ubat hospital.
Farmasi Pesakit Dalam
Farmasi Pesakit dalam bertanggungjawab dalam memastikan penggunaan ubat yang selamat dan perkhidmatan penjagaan farmaseutikal yang berkesan kepada pesakit di dalam wad. Selain itu, unit ini juga terlibat dalam memantau kesan ubat terhadap pesakit, mengenal pasti kesan sampingan yang mungkin berlaku, serta memberi nasihat kepada pasukan perubatan tentang penggunaan ubat yang lebih baik.
Farmasi Penyediaan Farmaseutikal
Unit Penyediaan Farmaseutikal bertanggungjawab untuk menyediakan dan membekalkan sediaan internal, eksternal dan unit dos kepada pesakit. Selain itu, unit ini juga bertanggungjawab untuk menghasilkan sediaan extemporanus dan pra-bungkus seperti losyen, krim, salap & sirap oral yang tidak boleh didapati secara komersial. Produk sediaan ini dibekalkan untuk kegunaan di wad dan unit-unit di hospital.
Farmasi Aseptik
Farmasi ini terdiri daripada 2 unit iaitu Farmasi Nutrisi Parenteral (TPN) dan Farmasi Rekonstitusi Ubat Sitotoksik. Farmasi Nutrisi Parenteral (TPN) bertanggungjawab untuk menyediakan dan membekalkan beg nutrisi parenteral, sediaan steril IV Admixstur, dan sediaan steril ubat titis mata. Manakala, Farmasi Rekonstitusi Ubat Sitotoksik (CDR) menyediakan perkhidmatan merekonstitusi ubat sitotoksik untuk rawatan kemoterapi kepada pesakit yang menerima rawatan kanser di hospital.
Stor Farmasi Berpusat dan Stor Integrasi Biomedikal
Unit Stor bertanggungjawab penting dalam memastikan sistem pengurusan bekalan di hospital berjalan lancar melalui proses perolehan, penyimpanan, dan pembekalan ubat, Bukan Ubat, Bekalan Pakai Buang (Disposables), Bekalan Pakai Habis (Consumables) dan gas perubatan kepada wad, klinik, dan unit-unit di hospital.